|
Membina Garisan Lurus |
Assalamualaikum.
ENTRY kali ini aku nak bincang beberapa perkara berkaitan dengan pembaris dan peraturan. Sejak akhir-akhir ini bermacam hal yang aku baca dekat dada akhbar sepeti kes bunuh, kes rogol, kes rompak dan lain-lain. Seriously aku nampak macam nilai nyawa seseorang manusia itu kosong. Tak ada harga langsung. Manusia sudah tak kenal lagi dengan peraturan dan mereka pula bina peraturan sendiri.
Sebagaimana kita memerlukan pembaris untuk melukis garisan lurus
Begitu jualah kita memerlukan peraturan untuk membawa diri
KE JALAN YANG BENAR.
Okey, sekarang aku nak huraikan ayat-ayat diatas.
Secara umumnya kita tahu apa kegunaan pembaris. Fungsinya adalah untuk membina satu garisan lurus. Dalam dunia pelajar, pembaris merupakan antara salah satu benda yang paling wajib ada dalam kotak pensel. Yalah, nanti cikgu mesti marah kalau buat garisan tak guna pembaris. Maka soalan yang ingin aku ajukan adalah boleh tak kita bina satu garisan lurus tanpa menggunakan pembaris? Seandainya ada pun orang yang boleh buat garisan lurus tanpa menggunakan pembaris, mestilah garisan tersebut tak 100% persis macam pembaris. Confirm ada lekuk-lekuknya.
Begitu jugalah dalam kehidupan kita sebagai manusia. Tidaklah Allah menjadikan sekian makhluk sekadar mengejar dunia kecuali beribadah kepada-Nya. Apa tujuan Allah hidupkan kita atas bumi? Mestilah untuk beribadah kepadaNya sebab Dia-lah yang menjadikan kita. Tapi macam mana nak beribadah kalau kita tak ada panduan dan peraturan bagi dijadikan rujukan?
Maka itulah gunanya AL-QURAN dan HADIS sebagai pegangan hidup kita.
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda: Aku tinggalkan kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.(Riwayat Imam Malik)
Al-Quran merupakan wahyu Allah yang mengandungi syariat dan peraturan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Kitab Allah ini ada 30 juzuk, 114 surah dan 6236 ayat dan di dalamnya ada beberapa isi kandungan. Antaranya; akidah, ibadat, akhlak, muamalat (urusan jual beli), munakahat (urusan perkahwinan dan perceraian), siasah (politik), jinayat (hukum hudud dan qisas) dan sejarah. Hebat bukan kitab Allah ini?
Hadis pula segala apa yang disandarkan pada Nabi Muhammad SAW sama dari segi perbuatan, perkataan, pengakuan atau sifat-sifat yang disandarkan kepada baginda. Selain itu, hadis berperanan men‘spesifikasi’kan kalimah-kalimah di dalam al-Quran. Contohnya, ayat al-Quran yang menerangkan kewajipan menunaikan solat tanpa menyatakan jumlah rakaat, masa dan kaifiat (cara-cara) melakukannya. Bagi menyempurnakan perintah Allah, Rasulullah SAW dalam hadisnya menerangkan cara-cara mengerjakan solat dengan betul.
Al-Quran dan hadis saling melengkapi antara satu sama lain tapi kena hati-hatilah ketika memilih hadis sebab takut hadis palsu.
Rasulullah SAW sendiri menjamin kita tak akan sesat kalau kita berpegang teguh kepada kedua-duanya. ‘Dua pekara’ tersebutlah menjadi pembaris kita bagi menuju ke jalan yang benar. Ia bukan saja menjadi panduan tetapi di dalamnya juga ada peraturan. Bayangkanlah seandainya dunia ini tak ada peraturan, maksiat akan bermaharajalela dan tidak ada seorang pun yang mampu menolong kita membanteraskan jenayah-jenayah tersebut kerana tiada peraturan atau hukuman yang sesuai dijalankan ke atas pesalah.
Sebaik-baiknya, kita gunakanlah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Bukankah Allah yang menciptakan sekian alam dan makhluk? Maka Dia-lah yang lebih mengetahui akan hamba-hambaNya. Kita manusia sudahlah serba kekurangan, buat lagi peraturan yang terang lagi bersuluh penuh dengan kekurangan. Pendek kata tak sempurna.
Buktinya, seandainya seseorang telah membunuh salah seorang ahli keluarga kita bila disabitkan kesalahan hukumannya sekadar penjara dua tahun. Berbaloi tak? Tapi kalau ikut hukum qisas, orang yang membunuh balasannya adalah bunuh balik. Islam bukan agama yang kejam tetapi adil.
Akhirulkalam, gunalah ‘pembaris’ yang Allah beri untuk menuju ke jalan yang benar dan boleh membawa diri ke syurga. Peraturan dicipta bukan kerana mahu mengekang kebebasan akan tetapi untuk faedah diri sendiri juga.
Nurul Al-Fateh
17 Oktober 2013