Archive for 2013

Selamat Tinggal 2013!



Assalamualaikum.


Setiap tahun mesti buat entry yang cliche. Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku buat benda yang cliche. Hahaha... Lumrah manusia agaknya.


Sempena tahun baru yang bakal menjelma, aku nak buat entry penutup buat tahun ni.


Tahun 2013 merupakan tahun yang agak mencabar bagi aku.

Berbanding tahun-tahun yang lepas, aku rasa tahun 2013 banyak menguji iman aku. Benarlah apa yang termaktub di dalam al-Quran. Bagaimana kita boleh mengaku kita orang yang beriman sedangkan Allah belum menguji kita? Maka ujian itu sebenarnya mahu menguji keimanan kita kepada Allah. Redhakan saja. Tak perlu nak mengeluh atau bertanya ‘kenapalah hidup aku macam ni?’. Satu hari nanti kita sendiri akan berterima kasih pada Allah kerana ujian yang lepas menjadi kita lebih kuat.



Tahun 2013 juga mengajar aku lebih matang.

Aku tak sedar selama aku tulis entry dalam blog ni ada seorang sahabat yang ikut perkembangan blog Nurul Al-Fateh. Seriously, aku tak tahu! Sampai satu hari bila aku cakap dengan dia yang aku pernah baca entries dalam blog dia, dia ketawa dan dia kata dia malu. Dia kata kalau nak dibanding blog aku dan blog dia, blog aku lebih matang. Kemudian, aku rasa terkejut. Aku tak pernah anggap blog aku sebagai blog yang matang sebab bahasa aku bukannya menggunakan Bahasa Malaysia Tinggi. Walhal sahabat aku tu jauh lebih hebat dari aku. Tulis entry guna bahasa Inggeris. Lagi hebat, kan?

Tapi bila aku check balik entry sejak pertengahan tahun ni sampai sekarang, aku perasan yang entry aku tak lagi macam keanak-anakkan. Aku sedar sudah sampai masanya untuk menjadi seorang remaja yang matang. Satu hari nanti aku akan menjadi dewasa. (Bukan setiap masa aku akan bersikap dewasa, akan ada tikanya perangai gila aku keluar. Hohoho!)


Tahun 2013...tahun yang sekadar tinggal kenangan.

Bagi aku, biarlah apa yang berlaku sekadar sebuah kenangan. Kenangan yang adanya pengajaran dan teladan agar boleh dipelajari pada masa hadapan. Buat mak dan ayah, terima kasih kerana sentiasa bersama saya sepanjang tahun ni. Buat kawan-kawan, terima kasih kerana bergelak ketawa bersama aku. Buat para guru, terima kasih atas didikan yang diberikan sehingga menjadikan saya ‘manusia’.



Buat Cikgu Tun Mohd Arafi (also known as Mr. Tun), nampaknya saya dah kehilangan seorang ‘teman’ untuk diajak bergaduh. Terima kasih sebab buat saya bengang dengan cikgu sepanjang tahun ni. Hohoho!

Buat Cikgu Muhammad Nur Hakim (also known as Mr. Hakim), terima kasih atas setiap kata-kata cikgu. Perbualan antara saya dan cikgu sentiasa menjadi pembakar semangat untuk saya jadi seperti cikgu. Bukan impian saya untuk memiliki kerjaya seperti cikgu tetapi memiliki ilmu yang banyak seperti cikgu. Terima kasih atas segala-galanya. Saya bakal kehilangan ‘budak pendek’ yang sentiasa berjaya patahkan soalan diluar silibus saya. Hahaha... 

Buat Cikgu Mohd. Khairul Adly (also known as Mr. Bob), terima kasih. Terima kasih atas segala-galanya. Cikgu bukan sekadar seorang guru bagi saya malah seorang ayah. Cikgu merupakan tulang belakang saya yang paling kuat. Satu hari dulu saya pernah jatuh, hari ni saya dah bangkit. Saya tak nak jadi orang yang kalah. Dan saya dah kehilangan, kehilangan sumber inspirasi saya. ;')








p/s:: Okey. Ini entry terakhir untuk tahun ni. Kalau nak tengok entry baru, tunggu tahun depan. 

Posted in , , | Leave a comment

Bukan Assobiyah

'Silatkan' apa yang salah.
Pernah aku lihat akan seorang hamba Allah
Dek kerana terlalu sayangkan bangsa
Segala ilmu syajaratun yang dipelajarinya
Dipersembahkan bagi menegakkan kebenaran


Pernah aku lihat akan seorang manusia
Dek kerana terlalu sayangkan bangsa
Membuka kembali lembaran fakta lampau
Hanya untuk 'silatkan' apa yang salah


Lantas timbul satu pertanyaan;
Adakah dia bersikap seorang assobiyah?
Adakah dia bersikap seorang racist?
Adakah dia bersikap seorang perkauman?


Buat seketika aku termanggu
Meneliti kembali tindakannya dulu
Apakah kasih pada pada bangsa sendiri itu
Melayakkan seseorang bergelar assobiyah?


Tidak, tidak, tidak!
Dia bukan insan yang bersikap assobiyah!
Dia hanya mempertahankan kebenaran
Walhal assobiyah itu mereka yang menolong kaumnya atas dasar zalim.


Anak muda yang telah banyak berjuang itu
Tidak sedikit pun kenal erti lelah
Demi bangsanya yang pernah membina tamadun hebat
Menegakkan kebenaran dan ketepikan apa yang salah



Posted in | Leave a comment

Debaran


Assalamualaikum.


Sehari sebelum harinya, adrenal telah merembeskan adrenaline begitu banyak sehingga membuatkan aku tak tenang tidur malam. Imaginasi melakonkan watak masing-masing dengan hebat bagaikan sebuah drama. Fuh! Jika dibiarkan begini berterusan, boleh jadi gila aku nanti! Enjin pencarian Google dibuka lalu mencari artikel-artikel berilmiah dibaca sehingga rasa resah hilang. Akhirnya sampai pukul 6 pagi aku langsung tidak tidur. 


"Wey, kau masih tidur lagi ke?"

"Ada apa kau telefon aku ni? Aku mengantuklah..."

"Kau ni biar betul. Cuba check jam dah pukul berapa."

"Laa... Baru pukul 9 kot."

"Ceh! Bangun lagi!"


Nana Syamimi sudah mulai bising lalu aku putuskan panggilan. Baju berwarna coklat di iron kemudian mandi. Jam dipandang setiap 10 minit agar aku boleh tahu aku keluar pada waktu yang tepat. Bertemankan ibu dan adik, kami pergi ke sekolah. Ayah masih berada di Terengganu untuk PSKPP maka dia tidak dapat bersamaku. Walaupun ayah seorang pegawai pelajaran yang boleh memeriksa keputusanku pada bila-bila masa, dia memilih untuk mendengar keputusan itu dari mulutku sendiri. 


"Mak tak nak ikut saya?"

"Tak apalah, mak tunggu dalam kereta saja."

"Mak ikutlah saya."

"Pergi saja."


Mak yang diajak menolak tawaranku. Mahu tidak mahu, aku perlu gagahkan juga perjalanan ini. Pada kebiasaannya keputusan akan diumumkan di dalam dewan maka aku terus menyusun langkahku ke dewan sekolah. Lengang. Aku memilih untuk datang lewat sejam kerana tidak mahu bersesak dan berebut-rebut. Di bahagian dinding sekolah dilekatkan keputusan para pelajar. Aku mencari namaku dan....


"Kenapa datang lambat?" soal seorang pembantu pentadbiran.

"Saya nervous sangat sebab tu saya lambat. Tapi kenapa, ya?"

"Kalau datang awal tadi awak akan masuk newspaper." 


Slip keputusan diserahkan. Satu ucapan terima kasih serta senyuman dilemparkan kepada orang tersebut dan berlalu pergi. Berkali-kali aku memandang sehelai kertas dalam genggaman tanganku.


"Mak! 7A 1B!"


Skema habis! Hahaha... Yes, itulah keputusan aku. Walaupun tak dapat straight A's, aku cukup bersyukur. Paling tak boleh blah, Mathematics aku boleh dapat A walhal aku pernah failed berkali-kali dalam exam. Subjek yang dapat B tu adalah Geografi. Apa-apa pun, aku lulus!


Keputusan ni hadiah buat keluarga, para guru, dan rakan-rakan yang membantu aku sepanjang aku berjuang. 








Posted in , | Leave a comment

Sistem Lambang Bunyi Suara


Assalamualaikum.


Teen Speaks Over 20 Languages



Masa tonton video JinnyboyTv, dibahagian suggestion video menarik perhatian aku pada satu video. Teen Speaks Over 20 Languages! Wow! Bila aku tonton video yang berdurasi lebih 8 minit tersebut, timbul satu perasaan respect pada lelaki yang bernama Tim Doner kerana telah menguasai lebih dari 20 bahasa sejak mempelajarinya pada usia 13 tahun. Wow, wow, wow!!!


Lambang bunyi Suara

Kalau di Malaysia, rakyatnya rata-rata akan menguasai dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara manakala bahasa Inggeris merupakan bahasa penghantar dunia yang diguna pakai ketika berkomunikasi dengan pelancong luar negara, melakukan bisnes dan lain-lain. Standard bahasa Inggeris sangat tinggi sehingga ia disenaraikan diantara Top 10 most spoken language in the world. Bahasa Inggeris bukan nombor satu, ya! Ia terletak pada kedudukan nombor dua selepas bahasa Mandarin.


Selepas menonton video tu, aku rasa macam kita patut mempelajari bahasa-bahasa asing lain juga. Bukanlah maksud aku disini kita sisishkan bahasa Melayu. Bukan itu maksud aku. Akan tetapi bukankah melalui bahasa kita akan mengetahui sesuatu bangsa dan negaranya? Itu antara salah satu kelebihan apabila kita mempelajari bahasa asing yang ketiga selain dari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kita akan lebih memahami bangsa dan negara tersebut serta menambahkan pengetahuan umum kita. Bukankah untungnya kita juga peroleh?


Negara-negara yang hebat seperti Jepun dan Russia, mereka begitu mengangkat tinggi bahasa rasmi mereka sehingga menyebabkan sesiapa yang mahu ke negara-negara tersebut perlu belajar sedikit sebanyak bahasa mereka atau mengupah seorang jurubahasa bagi terjemahkan setiap kata-kata mereka. Namun bagi pelajar yang bukan asal negara berkenaan, mereka perlu mempelajari bahasa-bahasa tersebut. Bahasa itu boleh menyatukan bangsa.


Akhir sekali, bagi kita umat Islam, al-Quran diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibril dengan Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab. Zaman sekarang memang banyak al-Quran yang telah diterjemahkan di dalam bahasa negara masing-masing. Akan tetapi kadang-kadang satu kalimah di dalam al-Quran memiliki lebih dari satu maksud. Walaubagaimanapun para penterjemah akan memilih maksud yang terbaik bagi kalimah berkenaan. Bila tiba masa solat, kita akan baca ayat al-Quran tetapi kita tidak faham maknanya. Kita tidak menghayati benar-benar maksud setiap kalimah yang kita baca sedangkan maksudnya sangat mendalam dan boleh melelehkan air mata. Namun sekiranya kita mempelajari bahasa Arab, itu adalah satu kelebihan buat kita kerana boleh memahami kalimah-kalimah cinta dari Allah.


Konklusinya, bahasa itu merupakan bahasa komunikasi, bahasa penyatuan bangsa serta bahasa membolehkan kita mengenali budaya negara lain. Semakin kita faham akan sesuatu bangsa, mungkin tidak muncul salah faham sehingga boleh mencetuskan pergaduhan atau peperangan. 


Bahasa itu merupakan satu sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain).Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka



p/s: Doakan agar aku dan semua pelajar tingkatan tiga akan mendapat keputusan yang terbaik bagi PMR kali ini. Ameen... All the best, batch 98! =)


Nurul Al-Fateh
18 Disember 2013/ 3 Safar 1435H

Posted in , , | Leave a comment

Sebelum 'Dia' Bernikah



Assalamualaikum.


SEBELUM AKU BERNIKAH
HILAL ASYRAF




Aku antara peminat Hilal Asyraf dan aku kenali Hilal Asyraf dari youtube selepas melihat majlis perkahwinannya bersama zawjah tercinta. Kemudian aku ikuti perkembangan Bro Hilal di websitenya iaitu LangitIlahi.com serta di facebook, Hilal Asyraf (Official). Apa yang boleh aku katakan artikel Bro Hilal di website adalah yang terbaik. Buku dia pun terbaik juga. Tak terlalu berat dan tak terlalu ringan. Sederhana dan mengajak kita untuk berfikir bersama-sama. Ini barulah penulis yang sebenar!


Disebabkan aku ikuti perkembangannya di Facebook, selalu jugalah aku nampak post dia promote buku-buku hasil tulisannya. Dalam banyak-banyak buku karya Bro Hilal, aku tertarik dengan bukunya yang bertajuk ‘Sebelum Aku Bernikah’. Buku tersebut ditulis sebelum Bro Hilal kahwin dengan zawjahnya. Kisah perjalanan hidup sebelum bergelar seorang suami dan kini alhamdulilah sudah menjadi seorang ayah. Banyak benda boleh dipelajari dari buku motivasi tersebut.


Antara bab yang menjadi kegemaran aku adalah ‘Bab 3 : Definisi Cinta Saya’. Siapa yang rajin baca blog aku mesti dah tahu aku pernah bercinta sebelum ini dan perpisahan tersebut memberi sedikat impak dalam hidup aku. Dalam dunia ini terlalu banyak definisi tentang cinta dan kelihatan definisi-definisi tersebut ada kebenarannya. Namun sayang, ketepatan definisi cinta itu tidak 100% tepat tetapi setelah aku baca definisi cinta bagi Bro Hilal, aku rasa itulah yang paling sempurna.


Sekiranya benar cinta, mesti kita mahu bersama ke syurga.
Apa-apa yang membawa ke neraka, itu bukannya cinta.


Lain orang, lain pandangannya. Mungkin bagi sesetengah orang tidak bersetuju dengan definisi cinta di atas. Aku tidak menghalang kalian mencari definisi cinta yang lain kerana ini negara demokrasi, okey. Selain berkongsi pengalaman, buku motivasi ini juga mengupas beberapa isu mengenai situasi golongan muda pada zaman ini yang melibatkan perkahwinan awal, ibubapa dan lain-lain.


Apa-apa pun, buku ‘Sebelum Aku Bernikah’ patut dimiliki oleh semua orang terutamanya yang bakal berkahwin. Aku galakkan juga untuk para remaja membaca buku Bro Hilal Asyraf ini agar nikmat ‘cinta’ yang Allah berikan tidak dicemari dengan perkara-perkara yang boleh membawa diri atau pasangan ke neraka.











Posted in , , | Leave a comment

Ingat atau Hanyut



Ku bina 'penjara' dan ku bina 'kesalahan'.



Di hujung katil aku termanggu sendiri
Memandang ke luar jendela lalu melihat awan
Lagu sedih dibuka dan dimainkan berulang-ulang
Timbul akan sebuah pertanyaan
Apakah cinta yang aku rasakan kini
Mengingatkan atau menghanyutkan?


Aku buka kembali lembaran lama
Lembaran yang menyimpan akan sejarah kita
Dibuka setiap satunya dan dibaca
Cuba mencari andai ada memori
Yang telah membuatkan aku lalai
Yang telah membuatkan aku alpa


Tetapi kemudian aku tersedar
Tidak mungkin aku berlari lantas menyalahkan sesuatu
Walhal aku sendiri yang telah membina silapnya
Aku sendiri yang membina ‘dinding’nya
Aku sendiri yang sengaja memerangkapkan diri
Dalam penjara yang menghanyutkan ini


Aku tutupkan buku lembaran
Memejam mata dan menangis sepuas-puasnya
Sekali lagi menjenguk ke luar jendela
Burung bersiulan
Angin menyanyikan lagu indah
Masih ada lagikah ruang buatku duhai Pencipta sekian alam?


Buat dirimu yang pernah aku rasakan perasaan suci itu
Maafkan aku sekiranya aku terpaksa menjauhkan diri
Aku tidak mahu lagi tenggelam dalam suatu fantasi
Di mana sudah pasti amat mustahil bagi aku miliki
Dirimu serta perasaan itu
Maka jalan terbaiknya biar aku pergi jauhkan diri


Tidak perlu gundah
Namamu sentiasa dalam doaku
Moga dirimu bahagia
Tidak perlu risau akan diri ini
Kerana andai dirimu bahagia
Ketahuilah aku merasakan hal yang sama

Posted in | Leave a comment

Pembaris dan Peraturan



Membina Garisan Lurus


Assalamualaikum.


ENTRY kali ini aku nak bincang beberapa perkara berkaitan dengan pembaris dan peraturan. Sejak akhir-akhir ini bermacam hal yang aku baca dekat dada akhbar sepeti kes bunuh, kes rogol, kes rompak dan lain-lain. Seriously aku nampak macam nilai nyawa seseorang manusia itu kosong. Tak ada harga langsung. Manusia sudah tak kenal lagi dengan peraturan dan mereka pula bina peraturan sendiri.


Sebagaimana kita memerlukan pembaris untuk melukis garisan lurus

Begitu jualah kita memerlukan peraturan untuk membawa diri

KE JALAN YANG BENAR.


Okey, sekarang aku nak huraikan ayat-ayat diatas.


Secara umumnya kita tahu apa kegunaan pembaris. Fungsinya adalah untuk membina satu garisan lurus. Dalam dunia pelajar, pembaris merupakan antara salah satu benda yang paling wajib ada dalam kotak pensel. Yalah, nanti cikgu mesti marah kalau buat garisan tak guna pembaris. Maka soalan yang ingin aku ajukan adalah boleh tak kita bina satu garisan lurus tanpa menggunakan pembaris? Seandainya ada pun orang yang boleh buat garisan lurus tanpa menggunakan pembaris, mestilah garisan tersebut tak 100% persis macam pembaris. Confirm ada lekuk-lekuknya.


Begitu jugalah dalam kehidupan kita sebagai manusia. Tidaklah Allah menjadikan sekian makhluk sekadar mengejar dunia kecuali beribadah kepada-Nya. Apa tujuan Allah hidupkan kita atas bumi? Mestilah untuk beribadah kepadaNya sebab Dia-lah yang menjadikan kita. Tapi macam mana nak beribadah kalau kita tak ada panduan dan peraturan bagi dijadikan rujukan?


Maka itulah gunanya AL-QURAN dan HADIS sebagai pegangan hidup kita.


Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda: Aku tinggalkan kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.(Riwayat Imam Malik)


Al-Quran merupakan wahyu Allah yang mengandungi syariat dan peraturan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Kitab Allah ini ada 30 juzuk, 114 surah dan 6236 ayat dan di dalamnya ada beberapa isi kandungan. Antaranya; akidah, ibadat, akhlak, muamalat (urusan jual beli), munakahat (urusan perkahwinan dan perceraian), siasah (politik), jinayat (hukum hudud dan qisas) dan sejarah. Hebat bukan kitab Allah ini?


Hadis pula segala apa yang disandarkan pada Nabi Muhammad SAW sama dari segi perbuatan, perkataan, pengakuan atau sifat-sifat yang disandarkan kepada baginda. Selain itu, hadis berperanan men‘spesifikasi’kan kalimah-kalimah di dalam al-Quran. Contohnya, ayat al-Quran yang menerangkan kewajipan menunaikan solat tanpa menyatakan jumlah rakaat, masa dan kaifiat (cara-cara) melakukannya. Bagi menyempurnakan perintah Allah, Rasulullah SAW dalam hadisnya menerangkan cara-cara mengerjakan solat dengan betul.


Al-Quran dan hadis saling melengkapi antara satu sama lain tapi kena hati-hatilah ketika memilih hadis sebab takut hadis palsu.


Rasulullah SAW sendiri menjamin kita tak akan sesat kalau kita berpegang teguh kepada kedua-duanya. ‘Dua pekara’ tersebutlah menjadi pembaris kita bagi menuju ke jalan yang benar. Ia bukan saja menjadi panduan tetapi di dalamnya juga ada peraturan. Bayangkanlah seandainya dunia ini tak ada peraturan, maksiat akan bermaharajalela dan tidak ada seorang pun yang mampu menolong kita membanteraskan jenayah-jenayah tersebut kerana tiada peraturan atau hukuman yang sesuai dijalankan ke atas pesalah.


Sebaik-baiknya, kita gunakanlah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Bukankah Allah yang menciptakan sekian alam dan makhluk? Maka Dia-lah yang lebih mengetahui akan hamba-hambaNya. Kita manusia sudahlah serba kekurangan, buat lagi peraturan yang terang lagi bersuluh penuh dengan kekurangan. Pendek kata tak sempurna.


Buktinya, seandainya seseorang telah membunuh salah seorang ahli keluarga kita bila disabitkan kesalahan hukumannya sekadar penjara dua tahun. Berbaloi tak? Tapi kalau ikut hukum qisas, orang yang membunuh balasannya adalah bunuh balik. Islam bukan agama yang kejam tetapi adil.


Akhirulkalam, gunalah ‘pembaris’ yang Allah beri untuk menuju ke jalan yang benar dan boleh membawa diri ke syurga. Peraturan dicipta bukan kerana mahu mengekang kebebasan akan tetapi untuk faedah diri sendiri juga.




Nurul Al-Fateh
17 Oktober 2013

Posted in , , | Leave a comment

Umpama Sebuah Permainan


Assalamualaikum.

Life is a game, man!

Hidup ini umpama sebuah permainan

Akan ada yang menang dan kalah

Kemenangan itu berlaku kerana ketakwaan kepada Allah

Manakala kekalahan itu berlaku disebabkan kelalaian kepada hal dunia


Hidup ini didefinisikan dengan takrifan yang berbeza-beza oleh manusia. Tak kisahlah macam mana takrifan yang diberikan sebab manusia mengalami pengalaman yang berbeza.


Hidup ini umpama satu permainan. Sememangnya benar. Kita sekarang sedang ditempatkan di dalam sebuah permainan. Apa yang pasti permainan ini tidak mudah. Penuh dengan cabaran dan dugaan yang telah Allah rancangkan untuk meningkatkan ‘power’ atau ‘iman’ kita. Bukan itu saja, halangan yang tersedia juga menguji keimanan kita kepadaNya.


Dalam sebuah permainan mesti ada peringkat-peringkatnya atau lebih dikenali dengan perkataan ‘level’. Maka dalam ‘permainan’ kita ini mempunya 100 levels. Antara 100 levels itu hanya 99 saja yang mampu kita lepasi. Bagaimana dengan level yang ke-100? Level yang ke-100 merupakan MATI. Bolehkah kita meloloskan diri dari kematian sedangkan di dalam al-Quran sudah dinyatakan bahawa setiap benda yang hidup akan merasai kematian? Mati itu pasti dan kita sebagai manusia antara salah satu benda yang hidup akan merasainya.


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati...” Surah Ali-Imran ayat 185.


Tidak kiralah bagaimana bentuk halangan yang diberikan, perkara utama adalah bagaimana kita hendak menanganinya. Pada kebiasaannya setelah kita menempuhi halangan yang telah disediakan, kita akan mengetahui bahawa diri kita tergolong dalam golongan yang mana. Golongan yang menang atau golongan yang kalah. Apa yang membezakan dua golongan ini?


Golongan Pemenang

Bekalan utama mereka adalah takwa. Menunaikan segala perkara yang Allah suruh dan menjauhi larangan yang telah ditetapkanNya. Melakukan setiap apa yang disuruh dengan penuh ikhlas agar diredhai oleh Allah dan mengelakkan kemurkaanNya. Senjata tambahan mereka pula adalah doa. Ya, doa merupakan senjata orang mukmin. Bukankah Allah itu Maha Mendengar? Maka berdoalah kepadaNya tidak kira waktu, sama ada dikala senang atau susah. Jangan jadi hamba seperti kacang lupakan kulit. Tika senang, lupakan Dia makala di tika susah, barulah mengingatiNya.


Golongan Kalah

Disebabkan terlalu lalai dengan hal duniawi maka dengan mudahnya ditumpaskan oleh musuh yang terang lagi nyata yakni Syaitan. Terkadang disebabkan harta dunia seperti wang, pangkat dan wanita kita mudah lalai dari mengingatiNya. Syaitan ini memang licik. Dari bisikannya saja boleh menjadikan hati kita melanggar peraturan Allah. Dibantu oleh rakan karibnya iaitu nafsu, rancangan bagi menyesatkan manusia semakin berjaya


Sebenarnya semua itu bergantung kepada iman kita. Iman kita haruslah kuat agar boleh menumpaskan musuh. Perbanyakkan amalan dan rajin-rajinlah pergi ke majlis ilmu agar semakin kuat keimanan kita kepada Allah. Insya-Allah.


Golongan yang menang, balasannya syurga.
Golongan yang kalah ... tepuk dada tanya iman.


Orang yang bertakwa adalah orang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila beramal, ia beramal kerana Allah.




p/s : ada orang dah bising dah aku tak update entry. Cikgu Bob! Saya dah update!

Posted in , , | Leave a comment

Ahli Pemikir


Binalah 'akhirulkalam' buatku


Jika engkau seorang ahli pemikir
Mungkin akan kau fahami setiap bahasa kiasanku
Tidak aku ciptakan sebuah karya untuk dibaca kosong
Melainkan untuk diambil pengajaran dan nilai kemanusiaan di dalamnya


Jika engkau seorang ahli pemikir
Mungkin akan kau fahami setiap nukilanku
Tidak aku ciptakannya sekadar engkau mengangguk faham
Melainkan untuk kau bersama mencurah akan buah fikiran


Jika engkau seorang ahli pemikir
Mungkin akan kau fahami setiap puisiku
Tidak aku ciptakannya sekadar untuk melepaskan keluhan hati
Melainkan untuk kau fahami akan dunia globalisasi ini


Jika engkau seorang ahli pemikir
Bertemu dan duduklah bersama-sama denganku
Berbicaralah kita pada sekian hari tentang dunia ini
Namun percayalah Tuhan yang berada di Arasy lebih mengetahui


Jika engkau seorang ahli pemikir
Gunakanlah hak berfikirmu dahulu sebelum bersuara
Maka akan kau bersetuju dengan kata-kata orang dahulu
Kerana mulut badan binasa


Jika engkau seorang ahli pemikir
Ambilkan sedikit waktu untuk berehat 
Tidak Tuhan jadikan engkau untuk berfikir setiap waktu
Melainkan untuk kau beribadah kepadaNya


Jika engkau seorang ahli pemikir
Maka teladanilah setiap kata-kataku
Binalah sebuah akhirulkalam dan ceritakan padaku
Tentang apa yang kau fahami


Jika engkau seorang ahli pemikir
Dan aku harapkan engkau sememangnya
Antara orang-orang yang berfikir

Posted in | Leave a comment

Pengalaman Sekali Seumur Hidup

Assalamualaikum.

Last Batch =)

2 Oktober 2013 merupakan tarikh yang penting buat aku sebab aku merupakan salah seorang calon PMR yang terakhir. Sebelum peperiksaan, macam-macam persediaan aku dah buat. Bukan saja dari segi fizikal dan mental malahan rohani. Hubungan dengan Allah perlulah dijaga dengan sebaik mungkin. Tak terkecuali hubungan kita dan manusia sekeliling. Aku dah minta maaf dengan beberapa bekas cikgu aku dan kawan-kawan aku. Yalah, aku manusia biasa. Manalah tahu pernah buat mereka sedih, marah atau terguris hati dengan kata-kata aku. 


Awal pagi dah kena bangun kemudian solat subuh. Jantung masa tu berdegup macam Michael Schumacher bawa formula one. Dup dap dup dap.... Pergh! Breakfast, pergi sekolah, salam mak ayah kemudian masuk sekolah. Bila jumpa kawan-kawan, barulah lega sikit hati. Cuba bawa bercerita dengan beberapa kawan bagi mengelakkan perasaan nervous.


Hari pertama merupakan kertas Bahasa Melayu kertas 1 dan 2. Petangnya pula kertas Pendidikan Islam. Bagi kertas 2, kami dibekalkan benang untuk diikatkan pada lubang yang telah dibuat pada buku jawapan. Relevan? Aku sendiri pun tak tahu.


So, ada cerita sikit nak share.


Disebabkan pelajar Islam bagi SMKBB merupakan pelajar minoriti maka tak banyaklah kelas yang digunakan untuk kertas Pendidikan Islam. Aku kena masuk bilik peperiksaan 1 dan paling ‘seronok’ adalah aku duduk depan meja pengawas. Apa macam? Hebat tak?


Kira-kira 15 minit sebelum nak mula menjawab kertas, ketua pengawas melakukan kerjanya. Buka satu beg dan keluarkan satu bungkusan. Bungkusan tu adalah kertas soalan yang bakal kami jawab. Tiba-tiba, ketua pengawas suruh aku semak bungkusan tu takut-takut kalau bungkusan tu bocor. Ini merupakan satu prosedur. Bila selesai semak, aku disuruh tandatangan dan tulis nama menggunakan huruf besar.


Maka aku pun mengambil pen dan mengeluarkan satu keluhan berat. Tak sangka pula seteruk ni nak menjawab peperiksaan besar.


“Aik, nak turunkan tandangan pun takut?”


Aku hanya senyum bila ketua pengawas cakap macam tu dekat aku. Bukan takut tapi pelik.


“Ini penting ni. Sebab kamu boleh jadi saksi di mahkamah,”


“Hah?!”


Ketua pengawas dan seorang pengawas lelaki ketawa kecil bila nampak reaksi muka aku. Cuba bayangkan kalau bungkusan tu sememangnya dah bocor tapi aku cakap tak bocor, boleh naik turun mahkamah aku nanti. Susah susah.... Tapi tak apalah, aku ambil sebagai pengalaman.


Hari Isnin nanti aku akan diuji subjek Sains dan Sejarah. Oh, Sejarah! Subjek kegemaran aku tu! Harap-harap segala urusan aku dipermudahkan. Ameen... Kepada semua batch ’98, all the best!


p/s : Seorang pengawas telah menyebabkan aku tak selesa nak menjawab soalan.


Posted in , | Leave a comment

Lelah


Aku menyayangimu, lebih dari nyawaku sendiri
Sentiasa merasakan kau adalah si bongsu yang terbaik
Patuh pada orang tuamu
Taat pada perintah Tuhanmu
Ku sangkakan kau akan selamanya begitu
Rupa-rupanya, sangkaanku meleset


Sudah penatku menangis
Sudah penatku menasihati
Hasilnya?
Sedangkan debu jua tiada
Kadang lelah hati merintih
Sehingga terbit niat di kalbu 
Ingin sampaikan tanganku ini pada pipi gebumu


Bila mereka bertanya, aku tidak tahu mahu menjawab apa
Bila mereka mencari, kau hilang entah ke mana
Lelah sudah bibir ini untuk berkata dusta
Lelah sudah telinga ini untuk mendengar 
Lelah sudah akal ini untuk berfikir


Engkau tidak tahu bagaimana rasanya
Sudah ada beban ditambah lagi beban
Akulah si sulung, akulah si ketua
Terpaksa memikul berjuta-juta amanah
Namun aku jua manusia biasa
Terkadang jatuh di atas tanah


Bersama teman-teman, saatku bahagia
Pabila mereka lihat aku menjadi gila
Mereka faham apa maknanya
Tekanan yang hebat
Menyebabkan neuron-neuron di akal
Melencong ke tempat yang salah
Sebagai seorang teman, ku salut dengan mereka


Hari ini kau rasa bangga dengan kelakuanmu
Ingatlah, Tuhan itu maha mengetahui
Jangan salahkan takdir suatu hari nanti
Kerana itulah balasan yang setimpal hasil usahamu
Di belakang hari


Aku mahu engkau tahu,
AKU SUDAH LELAH!



Posted in | Leave a comment

Si Pemudah Cara

Assalamualaikum.



Si Pemudah Cara



Sesuatu telah mengganggu fikiran aku. Semuanya bermula dengan perbualan antara aku dan guru matapelajaran Sejarah aku, Mr. Hakim. Aku suka berbual dengan dia sebab dia jenis yang suka bagi nasihat dan banyak cerita yang boleh diambil sebagai pengajaran. Bak katanya, “Cerita anda, inspirasi kami.”


“Guru ni sebenarnya pemudah cara. Kamu yang akan berusaha. Bila kamu dah berjaya nanti, orang tak akan tanya siapa yang mengajar kamu. Sebagai contoh kalau kamu dapat A untuk Sejarah, orang tak akan kata : Wah, Sejarah dapat A! Siapa cikgu yang ajar?. Tak, mereka tak akan kata macam tu. Mereka akan kata : Wah, hebatnya. Tahniah!”


Bagaimana untuk aku menafikan hal sedemkian? Betul, orang tak akan tanya siapa ‘tulang belakang’ kita yang telah menjadikan kita seorang yang berjaya. Namun tanpa kita sedar, kita berada di posisi kita pada hari ini kerana mereka. Mereka itu siapa? Mereka adalah golongan manusia yang berjiwa besar mahu mendidik anak bangsa agar menjadi orang yang berguna pada negara, agama dan bangsa. Mereka adalah GURU, SI PEMUDAH CARA.


Manusia bermula dari kosong. Tidak mungkin sekecil-kecil bayi sudah dibekalkan ilmu. Pada mulanya kita ‘jahil’. Tidak tahu bagaimana mahu mengeja malahan membaca. Tidak tahu mengira dan tidak tahu menulis. Perlahan-lahan kita menjadi orang yang ‘berilmu’. Tahu mengeja, membaca, mengira dan menulis.


Guru tidak hanya bermaksud manusia yang berada di sekolah dan mengajar. Guru juga adalah ibu bapa kita. Sebelum kita memulakan sesi persekolahan seawal umur lima atau enam tahun, mereka dahulu sudah mengajar kita. Anak murid mereka adalah anak-anak mereka sendiri. Ibu bapa mengajar anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang. Tak pernah pun terfikir untuk membeza-bezakan setiap anak-anaknya. Apa yang pasti meraka sudah masak dengan perangai kita. Bila sudah cukup tempoh, tugas mereka sebagai ‘guru’ pula diambil orang lain. Tugas mengajar dan mendidik pelajar memanglah kerja guru tapi aku harap ibu bapa tak meletakkan 100% pada pihak guru. Dua-dua pihak perlu terlibat. Takkanlah kalau perangai anak teruk pun cikgu kena salah? Salah cikgu ke? Tepuk dada tanya IMAN.


Aku selalu dengar orang membeza-bezakan pelajar zaman sekarang dengan pelajar zaman dulu. Kalau dulu, pelajar-pelajarnya jenis takut dan hormat pada cikgu. Bila cikgu pukul memang tak berani mengadu dekat mak ayah sebab takut dipukul lagi. Generasi pada ketika tu sangat menghargai guru. Budak zaman sekarang, cikgu pun diorang anggap macam kawan. Boleh besar kepala dan pijak-pijak kepala cikgu. Kena rotan atau pukul sikit, mengadu dengan mak ayah. Ceh, pengecut! Maka mulalah ‘drama-drama Melayu’ berlaku. Datang surat saman.


Walauapa pun, guru adalah manusia biasa juga. Bukannya manusia bertaraf nabi yang bersifat maksum. Maka jangan hairan kalau sejak kebelakangan ni ada cerita mengenai cikgu meliwat pelajar, mencabul pelajar atau apa-apa perkara negatif yang berkaitan dengannya. Kita semua penuh dengan kekurangan. Tak semua cikgu macam ni, hanya segelintar saja.


So, disini aku nak katakan sesuatu.


Sekiranya satu hari nanti aku telah berjaya, aku nak semua orang tahu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan aku adalah AYAH DAN MAK, GURU-GURU DAN KAWAN-KAWAN AKU. Tak dilupa juga IZIN ALLAH. Tanpa kuasaNya, aku bukan siapa. 






p/s: Mr. Hakim, thank you. 

Posted in , , , | Leave a comment

Orkid.

Assalamualaikum. 


Lama dah tak upload gambar. Hohoho... Gambar yang diambil semalam. 


My Mom's Orkid. 


1/250s | F4.5 | ISO 100 | 30mm

Posted in | Leave a comment

Susah atau Malas?

Assalamualaikum.


Bacalah dengan nama Tuhanmu yang maha menciptakan.  (Surah Al-Alaq, ayat 1)


"Cikgu tahu tak, soalan PMR pun tak susah macam soalan ujian hari tu!"

"Kamu rasa susah sebab kamu tak ada ilmu."


Situasi di atas secara majoriti kita pernah lalui. Soalan pada kertas ujian kadang-kadang susah tahap gaban sampaikan mengganggu jiwa dan akal untuk mencari jawapan. Namun bagi para guru, soalan tu senang. Mana tak senang kalau diorang dah tahu jawapan. Hohoho...


TAPI pernahkah kita terfikir di sebalik kata-kata guru kita itu ada benarnya? "Kamu rasa SUSAH sebab kamu TAK ADA ILMU." Mr. Hakim pun pernah cakap macam tu dengan aku. Mula-mula rasa bengang juga tapi bila diselami dan difikirkan sebaik-baiknya, barulah aku tersedar ada kebenaran di sebalik kata-kata tersebut.


Aku nak bagi beberapa contoh :

  • Kalau kita berada di medan perang tanpa ada ilmu peperangan, tahukah kita cara untuk melawan musuh? Mestilah jawapannya tidak. Tahukah kita bagaimana untuk memegang senjata dengan betul sekiranya tiada ilmu? Tentulah jawapannya tak. Tanpa ilmu, perjuangan 'si pahlawan' seumpama sia-sia. Tumbang dengan mudah. Berani dah betul tapi kalau ada ilmu, lagi bagus. 

  • Kenapa guru atau pensyarah atau mana-mana manusia yang berani berdiri dihadapan 'audiens' dan yakin dengan apa dicakapkan oleh mereka? Sebab diorang ada ilmu. Keberanian dan keyakinan memang menjadi perkara utama untuk mereka berdiri dihadapan 'audiens' tapi ilmu menjadi tunjang utama. 

  • Kenapa kita perlukan doktor yang mempunyai kepakaran untuk merawat atau membedah seseorang? Kalau doktor tu tak ada ilmu dalam bidang membedah atau merawat, korang berani tak suruh doktor tu rawat atau bedah korang? Dan korang rasa pihak hospital akan terima atau tak doktor yang sebegini? 

  • Akhir sekali, kenapa kita perlu ilmu sebelum kita mendirikan solat? Tanpa ilmu, kita mungkin tak tahu bagaimana untuk mendirikan solat. Tanpa ilmu kita mungkin tidak tahu rukun-rukun solat, syarat sah solat dan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat. 

Ilmu sangat penting. Tanpa ilmu kita seumpama kapal yang berada di tengah lautan tanpa nakhodanya. Bebas menjadi pukulan ombak. Bebas menjadi mainan angin dan taufan. Dalam bahasa realiti, mudah diperbodohkan oleh orang yang berilmu. Kita hanya akan menjadi bahan untuk ditertawakan oleh orang berilmu. 

Dalam dunia pelajar, soalan yang telah disediakan ada dua kemungkinan kenapa ia susah:

  1. soalan aras tinggi
  2. tak ada ilmu

99.99% sememangnya soalan susah kerana kita tak ada ilmu. Kenapa tak ada ilmu? Sebab malas nak baca buku dan belajar. Hanya 0.01% soalan diajukan adalah aras tinggi (kadang-kadang).



Dari Anas bin Malik r.a, katanya : Rasulullah SAW bersabda: Menuntut ilmu adalah satu fardhu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam.
Riwayat Ibnu Majah








Posted in , , | Leave a comment

Project Mega! #2

Hakikat hidup seorang pengembara... Tiada titik noktahnya. 



Sang musafir di jalanan hidup




Frasa ayat tersebut menjadikan aku berfikir akan kehidupan kita sebagai manusia yang hidupnya umpama seorang pengembara. Ya, kita merupakan perantau di dunia ini bagi menuju ke destinasi yang abadi iaitu negeri akhirat. Dalam entry ini, aku tidak membataskan erti ‘mengembara’ dengan makna pergi dari satu tempat ke tempat yang lain kerana persepsi manusia pelbagai dan subjektif. Maka, terserah kepada kalian untuk memberikan definisinya bagaimana.


Hidup sebagai seorang pengembara, pasti ada hala tujunya. Pasti ada landasannya dan pasti ada petunjuknya ke mana kita hendak pergi. Jangan dilupa juga kita memerlukan bekalan sepanjang menuju ke destinasi yang dikehendaki. Sebagai seorang manusia yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, kita ada ‘kompas’ yang tersendiri. Sekiranya kita mengikut dan mengamalkan kompas tersebut, kita pasti tidak akan tersesat. Kompas tersebut merupakan Al-Quran dan as-Sunnah tinggalan junjungan baginda Nabi Muhammad SAW.


Pengembaraan kita telah pun bermula sejak berada di dalam kandungan seorang ibu iaitu di alam rahim, kemudian kita dilahirkan ke dunia. Apabila sudah berada di dunia, maka perjalanan yang hebat akan ditempuhi. Melalui zaman kanak-kanak, zaman remaja dan zaman dewasa. Saat-saat ini juga Allah menurunkan ‘hadiahNya’ iaitu ujian, cabaran dan dugaan bagi menguji diri kita sebagai sang musafir di atas jalanan hidup. Lantas, terujilah iman dan semangat kita.



Sepanjang menuju ke destinasti terakhir kita, pastinya kita perlu membawa bekalan. Bekalan-bekalan tersebut merupakan ibadah kita kepada Allah SWT. Perbanyakanlah dan senantiasa tingkat amalan-amalan kita agar tidak menyukarkan perjalanan kita menuju destinasi yang abadi nanti. 


Daripada Ibn Umar r.a, beliau berkata : Rasulullah SAW memegang bahuku lalu bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seorang pengembara atau perantau di jalan. Hadis riwayat Al-Bukhari. 



Posted in | Leave a comment
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.