Archive for July 2013

Imarahkannya!

Assalamualaikum.



Semalam lepas solat Asar, aku ternampak Mr. Tun dalam perjalanan menuju ke surau. Waktu Zuhur pun aku terserempak dengan dia. Bila nampak Mr. Tun, mesti aku nak ketawa. Entahlah kenapa. Tapi yang pasti, aku akan mudah ketawa tengok muka dia. 


"Kenapa saya asyik-asyik jumpa cikgu? Rasa macam dah tak ada orang lain pula saya nak jumpa," kata aku. Mr. Tun pun tersenyum. Dia tersenyum pun boleh buat aku geli hati. 


"Memang pun tak ada orang lain nak datang ke surau ni melainkan cikgu," kata Mr. Tun.


Kata-kata Mr. Tun membuatkan aku tersentap habis. Rasa nak menangis pun ada bila dia cakap macam tu. Betul, sekarang macam kurang saja orang nak datang ke surau. Sepatutnya bila Ramadhan, pelajar makin ramai datang tapi sebaliknya pula terjadi. Mungkin disebabkan waktu pembelajaran dipendekkan, maka tak beranilah pelajar-pelajar nak minta izin keluar dari kelas. Takut terlepas ilmu. 


Waktu Zuhur, pelajar memang ada cuma pelajar yang memang selalu pergi solatlah aku tengok. Pelajar perempuan, masih konsisten. Orangnya tetap sama. Bila tiba saja waktu Asar, masa tu tak payah cerita. Memang susah nak tengok budak-budak 'melepak' dekat surau. Rasanya diorang solat Asar dekat rumah sebab sekolah aku balik awal, pukul 5.15 p.m. Bila nampak situasi sebegini, rasa kecewa menguasai diri. Apalah yang menyebabkan keadaan surau sekolah jadi macam ni? Hanya Allah saja yang tahu. Wallahualam. 


Bila tibanya bulan Ramadhan, sepatutnya surau menjadi penuh dengan aktiviti tadarus al-Quran, kuliah atau apa-apa saja aktiviti agama yang bermanfaat buat pelajar. Aku tak salahkan mana-mana pihak tapi aku salahkan 'diri sendiri'. Terlalu malas untuk bertadarus lantas menjadikan alasan hari terlalu panas dan terlalu haus. Malas sangat nak ke surau sebab tak ada apa-apa yang boleh dilakukan padahal ada benda yang boleh dilakukan sebenarnya cuma penyakit M dah menjangkiti diri. Disebabkan terlalu 'melayan' nafsu, maka penyakit M-lah bermaharaja lela.


Sekadar Gambar Hiasan


Imarahkannya.


Tak salah pun. Kita ajak orang ramai pergi ke masjid atau surau berdekatan.


Itu rumah Allah. Bila-bila masa kita boleh pergi. Tak ada pun orang melarang dengan syarat kita berpakaian beradab dan menutup aurat.


Jangan biarkan rumah Allah kosong tanpa orang.


Jangan biarkan bila Ramadhan penuh, bila Syawal hilang.


Penuhkannya setiap masa. 


Posted in , , | Leave a comment

Perpisahan


Rasa janggal buatku bila kau tiada
Di surau itulah menjadi tempat kita berlepak
Tempat di mana menyimpan banyak kenangan
Tempat yang sering aku tuntut ilmu agama darimu


Tatkala dalam perjalanan aku hendak menuju ke bilik agama
Tiada lagi aku lihat kau mengambil wuduk ditempat wuduk
Cikgu Hakim juga bersendirian dan tiada teman untuk menunaikan solat
Jika tidak, kaulah sentiasa bersama dengannya


Hati terisi dengan rasa rindu
Sebak sudah menyelimuti hatiku
Hendak saja aku menangis pabila bayanganmu bermain difikiranku
Tapi aku tahu, aku perlu kuatkan hatiku


Allah pisahkan kau dari aku
Mungkin kerana Dia mahu mengujiku
Mungkin selama ini aku terlalu banyak bergantung kepadamu
Dan tiba masanya aku bergantung kepadaNya


Tiada lagi teman untukku bergelak ketawa
Tiada lagi teman untukku bercerita
Tiada lagi teman untukku pinta nasihat
Tiada lagi teman ... yang sebaik dirimu






Posted in | Leave a comment

Impian dan Aliran

Assalamualaikum.


PMR dah menunjukkan bayang-bayangnya. Tinggal beberapa bulan, minggu dan hari saja lagi untuk dia menjelma. Perasaan aku gementar sikit tapi tetap ada rasa bersedia untuk menemui 'hantu' yang akan menghantui aku bulan 10 nanti. Keputusan yang lepas aku cuma dapat peroleh 2A iaitu Sejarah dan Pendidikan Islam. Lain-lain semuanya B dan C. Ujian percubaan nanti, aku cuba untuk dapat 5A sebab selain dua subjek tadi, aku ada keyakinan terhadap subjek Perdagangan dan Keusahawan, Sains dan Geografi boleh dapat A. Aku ni otak dah rajin, cuma badan saja malas. 


Entah kenapa pula tiba-tiba hari ni kelas 3A, 3H dan 3L terlibat dengan program motivasi. Last minute baru nak beri motivasi? Terlambat sangat! Program motivasi berkenaan anjuran sekolah dibawah Bimbingan dan Kaunseling. Initipati program tersebut adalah ke mana hala tuju kami selepas PMR, apakah cara-cara menghadapi PMR dan benda-benda yang berkaitan dengan masa hadapan. Cuma aku lebih tertarik dengan ke mana hala tuju kami selepas PMR. Bukan kami, AKU-lah sebenarnya. 


Kalau dapat keputusan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, mesti pelajar akan memohon ke sekolah yang hebat macam MRSM, SM Sains, Kolej Vokasional, Kelas Rancangan Khas (KRK) dan macam-macam lagilah sekolah. Kalau dapat keputusan sekadar cukup makan, antara Kolej Vokasional atau tinggal saja dekat sekolah lama. Aku rasa aku nak teruskan pengajian aku sampai tingkata 6 atas. 


Tapi aku ada masalah buat masa sekarang. Walaupun terlalu awal untuk difikir, rasanya lebih baik fikir awal. Aku nak ambil aliran Sastera sebab aku memang minat benda melibat perkataan banyak-banyak ni berbanding nombor dan formula Masalahnya sekarang terlalu banyak halangan yang membuatkan aku nak pilih aliran tu. Katanya aliran Sastera ni untuk orang yang teruklah, apalah. Who say?! Kalau kau tak belajar membaca dan belajar berkaitan dengan bahasa, soalan math dan sains pun tak boleh jawab. Jangan pandang rendah pada pelajar aliran Sastera atau mana-mana aliran pun kalau kau aliran Sains Tulen! Kita semua sama tapi yang membezakan kita, ilmu. 


Bila fikir balik, kalau tak ambil aliran Sains confirm aku tak dapat nak ambil bidang PSIKIATRIS. Aku minat kepada tiga bidang ni; PSIKOLOGI, PSIKIATRIS dan UNDANG-UNDANG. Tambah satu lagi, aku ada minat dengan bidang jual beli iaitu BISNES/PERDAGANGAN. Bukan bidang memperdagangkan manusia! Korang sendiri boleh nampak krisisnya di situ. Dalam empat bidang tu, aku ada minat yang mendalam pada bidang psikiatris dan undang-undang. 


Aku minat bidang psikiatris sebab aku nak tahu apakah penyakit yang melibatkan gangguan mental. Aku nak tahu apa punca-punca manusia boleh mendapatkan masalah mental terganggu. Kemudian aku nak merawati pesakit gangguan mental ni dengan cara sains dan Islam. Hebat mana pun kau punya ubat tapi kalau hati 'kosong,' masih juga pesakit tu sakit. Kenapa aku minat bidang undang-undang or in English we call as LAW? Aku paling benci + anti dengan orang yang buat aniaya kepada orang lain. Aku tak suka bila kebenaran disembunyikan. Aku nak tegakkan segala perkara yang haq dan banteras segala perkara yang batil. Aku tak akan biarkan orang yang bersalah bebas dengan kehidupannya di dunia padahal orang yang tak bersalah terperangkap dengan besi dan dinding batu yang kukuh serta tebal. Kalau boleh bukan saja aku kuasai perlembagaan Malaysia, 'perlembagaan' Allah pun aku nak kuasai. Biar tak berat sebelah.


Masalah. Dilema. Konflik. Stres. 


Cara penyelesaian?


Buat solat sunat istikarah dan solat hajat. 


p/s: kalau aku ambil undang-undang, 8 tahun aku kena duduk dekat kampus. psikiatris pun macam tu juga. 

Posted in , , | Leave a comment

Puasa dan Protecting

Assalamualaikum.


Hidup di Malaysia sangatlah aman dan damai. Rakyatnya bersatu padu walaupun berlainan bangsa serta agama. Tiba-tiba pula aku cakap macam cikgu Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hahahaha... Tapi itulah hakikatnya bila kita hidup di sebuah negara yang dahulunya pernah menjadi tanah jajahan British.

Ramadhan Kareem

Hari ni masuk hari keempat kita berpuasa. Sepanjang tempoh tu, ada dua perkara yang telah memberikan kejutan elektrik buat aku. Perkara yang pertama adalah sahabat baik aku, Chrisper Chang, tiba-tiba saja cuba untuk berpuasa. Hal ni pernah berlaku dekat aku tiga tahun yang lepas sewaktu darjah 6. Ada kawan yang non-Muslim nak berpuasa. At last, dia berjaya berpuasa satu bulan Ramadhan dengan penuh. Chris masih lagi dalam pemerhatian. Setakat ni memang dia dah berjaya berpuasalah. Sanggup bangun sahur, tahan lapar dan dahaga kemudian menikmati juadah berbuka. 

Aku ada tanya dia, parents dia tahu tak yang dia berpuasa. Katanya tak tapi dia rasa parents dia dah tahu yang dia berpuasa. Aku tak halang dia nak berpuasa sebab bukan aku dan kawan-kawan Muslim yang lain paksa dia puasa. Itu keputusan dia sendiri. Tak wajib bagi orang bukan Islam berpuasa tapi dia tak dapat apa-apa melainkan rasa lapar dan dahaga. Percaya atau tak, Chris mampu baca doa makan dengan lancar walaupun ada sedikit masalah dengan sebutannya. 

Motif dia berpuasa, dia nak tahu apa orang berpuasa rasa bila tak boleh makan dan minum dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Andaikan dia tahu berpuasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga, berpuasa itu ada kemanisannya yang tersendiri. Semoga Allah memberikan hidayah buatnya. Ameen.

Ramadhan

Perkara yang kedua adalah.... Masa tu kelas Sejarah. Mr. Hakim masuk sekejap then keluar balik sebab ada hal yang perlu diuruskan. So, dia suruh kami buat kertas soalan PMR Sejarah tahun-tahun lepas. Tengah sibuk buat kerja yang Mr. Hakim suruh buat, tiba-tiba pula ada bawa ayam semerbak dalam kelas. Chris masih lagi berpuasa pada hari tu. Memang tergugatlah iman dia. Aku suruh dia relax dan memang beginilah ujian untuk orang yang berpuasa. 

Entah kenapa pula ada seorang kawan aku mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat. Chris kata dengan aku tak payah layan dan sambung buat kerja. Bila habis saja kelas Mr. Hakim dan kami menuju ke kelas PK (Pilihan 4 KHB, Perdagangan dan Keusahawanan), barulah tahu cerita. Kawan aku tu tadi nak makan ayam, suddenly kena tegur oleh penolong ketua kelas dengan teguran sebegini: "Respect-lah sikit dengan mereka yang berpuasa."

Fuyoooo... Salutelah. Penolong ketua kelas aku tu berbangsa Cina tapi dia tahu hormat kami yang berpuasa walaupun dalam kelas, kami (pelajar Islam) merupakan pelajar minoriti. 

Mereka open-minded dan protecting.  



Posted in , | Leave a comment

Ramadhan.. Kehadiranmu Dinanti

Assalamualaikum!


Ramadhan nak datang oi!

Keep Calm It's Ramadhan =)

Kalau boleh, satu dunia aku nak umumkan yang Ramadhan nak datang dengan membawa rahmat dan keberkatan buat kita umat Islam. Di mana di dalam Ramadhan itu adanya satu malam yang jauh lebih baik dari seribu malam. Amalan kita dilipat gandakan. Wooow! Tak syok ke Ramadhan nak datang ni? Kalau aku ni ada kuasa, nak saja aku isytiharkan esok Ramadhan. Namun, aku tak ada kuasa. Aku hanya manusia biasa dan hamba Allah. 


Bila dekat saja dengan Ramadhan mesti ada dua golongan ni yang akan muncul. Golongan pertama merupakan golongan yang mengalu-alukan kehadiran Ramadhan manakala golongan yang kedua merupakan golongan yang sangat susah hati akan kehadiran Ramadhan. 


Golong pertama of course rasa suka yang amat bila hadirnya bulan yang penuh dengan rahmat. Masa tu confirm ramai yang perbanyakan ibadah. Al-maklumlah, ganjaran pahala dilipat gandakan. Siapa tak nak,kan? Aku pun nak. Masa ni jugalah ramai yang akan berubah. Yang tak pernah bertudung, akan mula bertudung. Yang tak pernah pergi masjid, akan pergi masjid. Pendek kata diorang akan menghijrahkan diri. Alhamdulilah....

Golongan kedua pula.... hahaha. Tak tahu nak kata apa. Diorang  biasanya susah hati, marah, resah dan pelbagai rasa yang tak senang akan menguasai hati. La... Ramadhan saja. Bukannya hantu nak disusah hati. Dan yang paling uniknya kebanyakan golongan ni, diorang akan makan sebanyak yang mungkin sehari sebelum Ramadhan untuk memastikan tak ada rasa lapar pada esoknya. Hahaha... Adik aku macam ni-lah. Awal-awal dah plan nak makan. Walhal tetap juga nanti dia cakap lapar. 


Ramadhan nak datang, biarlah ia datang. Sambutlah dengan niat kita nak mengubah diri ke arah yang lebih baik. Bulan ni syaitan kena rantai tapi tetap ada geng sekutunya; nafsu. Bagi aku Ramadhan merupakan satu bulan 'perang' dengan nafsu. Keputusannya kita boleh lihat di akhir Ramadhan. Adakah kita berjaya menumpaskan nafsu atau nafsu yang berjaya menumpaskan kita. Iman kena kuat, bro and sis. Setiap hari kuatkan iman kita agar tak mudah kita tunduk pada nafsu. Biar kita kuasai nafsu, bukan nafsu kuasai kita. Okey?

"Hai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa."
(Surah Al-Baqarah, Ayat 183, Juzuk 2)


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga selepas Ramadhan, kalian tetap istiqomah dengan penghijrahan diri ke arah lebih baik. 


p/s: Teringat cerita parents aku. Kalau time nak sahur, mesti ada sekumpulan orang akan bangunkan diorang dengan cara mengetuk something dan jerit "sahur sahur! sahur sahur! sahur sahur!". Kalau zaman sekarang berlaku, hahaha... Alamatnya kena baling dengan tin, botol or whateverlah!





Posted in | Leave a comment

Sahabat Sekepala

Assalamualaikum.


Orang cakap, kita kena pandai pilih kawan. Kebanyakan kawan aku merupakan lelaki tapi aku masih lagi tahu batasannya. Kawan perempuan? Masih ada cuma tak adalah banyak sangat. Boleh dikira dengan 20 jari pulak tu. Hohohoho...


Semua orang kata bila berkawan dengan lelaki ni kena jaga-jaga sebab mereka tu tetap lelaki. Kiranya tetap ada nafsulah. Tapi percaya atau tak, aku ada seorang kawan yang menjaga aku. Siapa lagi kalau bukan Chrisper Chang.


Chris or Crispy


Aku kenal Chris (nama panggilan) masa form 1. Aku masih lagi ingat masa tu cikgu suruh baca buku dan satu buku KOMSAS or Literature aku tak bawa. Disebabkan dia duduk sebelah aku, dengan lemah lembutnya aku minta pinjam buku KOMSAS dia. Masa tu kami berdua nerd habis. Hahaha... Bila dah naik pangkat jadi senior petang, aku dah berubah.Chris? Tetap nerd tapi digilai oleh ramai pelajar perempuan.


Macam korang tahu, aku adalah photographer (amatur sebenarnya). Kami berdua memiliki hobi yang sama iaitu mengambil gambar. Mana-mana event yang kami berdua hadiri, kamera mesti ada di sisi. Kami berdua pun pernah kena kutuk gara-gara bawa kamera ke hulur ke hilir tapi kami berdua dah lali sangat-sangat. Orang nak kutuk? Telinga kami kebal sudah, okey!

Chris and Lawai

Uniknya Chris ni, bila dia cerita tentang mana-mana perempuan yang dia suka, automatik pipi dia jadi merah. Malu agaknya. Aku selalu perasan pipi dia akan bertukar merah kalau cerita tentang perempuan. Tapi kalau cerita tentang aku, macam biasa saja. Mungkin sebab dia anggap aku kawan biasa. Aku pun anggap dia kawan biasa tapi tinggi sikit pangkat. Sahabat baik.


Kami dua ada habit yang pelik sejak kebelakangan ni iaitu fight karangan siapa lagi bagus. Dalam seminggu, mesti ada satu hari tu kami pergi ke bilik guru minta Cikgu Florina check karangan kami berdua. Aku dah menang dua kali, dia dah kalah dua kali manakala kami seri satu kali. Cikgu-cikgu dalam bilik guru senyum saja tengok perangai kami berdua. Al-maklumlah, ketua panitian BM sekolah tu jealous sebab Cikgu Florina ada student yang bersaing secara sihat.

Stress lalu menjerit. Hahaha...

Tahun ni kami berdua akan menghadapi PMR.
Semoga tahun depan kami berdua masih lagi duduk di kelas yang sama.
Biar kegilaan sama-sama dikongsi.
Chris, aku doakan kau berjaya dengan cemerlang PMR nanti. Ameen..





Posted in , , , | Leave a comment

Layu, Mati dan Kekal.

Assalamualaikum.




Sayangkan BUNGA, bunga akan LAYU
Sayangkan MANUSIA, manusia akan MATI
Sayangkan ALLAH, akan KEKAL selama-lamanya




Kata-kata puitis di atas merupakan kata-kata dari seseorang yang amat aku hormati dan sayangi. Kata-kata puitis tu akan membuatkan akal berfikir panjang mengenai kiasan di luarnya bagi mencari isi di dalamnya. Kalau orang yang otaknya straight to the point, memang kena perah otak sikitlah untuk faham. Tapi bagi budak-budak sastera atau budak-budak jiwang, rasanya tak ada masalah bagi diorang faham. 


Sekuntum Mawar 


Sayangkan bunga, bunga akan layu. Apa maksud sebenarnya? Dalam dunia ni, tak akan ada yang kekal selama-lamanya. Semuanya hanyalah pinjaman semata-mata. Allah boleh tarik bila-bila masa Dia nak sebab Dia adalah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta isinya. Dia jugalah Tuhan yang memberi nikmat kepada kita. Bunga tu di umpamakan sebagai kecantikan. Rasanya semua bunga nampak cantik, kan? Namun kecantikan bunga tu tak akan selama-lamanya kerana satu hari nanti ia akan layu. Bila dah layu, masa tu mesti ramai orang pandang sebelah mata saja. Begitu jugalah dengan manusia. Kalau sayang/cintakan sangat akan kecantikan, ia pasti tak akan kekal lama. 


Sayangkan manusia, manusia akan mati. Setiap yang hidup akan mati dan kita manusia akan merasai kematian. Itu memang pasti, bro and sis. Tak ada manusia yang mampu hidup beribu-ribu tahun kerana kematian merupakan sesuatu yang pasti. Sebab tu sayangkan manusia tak payahlah sepenuh hati, takut bila dia pergi, kita pun sedih sepenuh hati. Biar sayangkan separuh saja. 


Sayangkan Allah, akan kekal selama-lamanya. Dialah Tuhan yang satu. Memiliki sifat penyayang dan pemurah. Penerima taubat sekiranya kita benar-benar menyesal atas kesilapan lampau. Memberi rezeki kepada kita di atas muka bumiNya. Berlaku seadil-adilnya kepada para hambaNya dan tiada peguam yang mampu seadil Allah bersifat al-Adl. Maha bijaksana dan kebijaksanaannya terseralah melalui kepelbagai ciptaanNya. Subhanallah... Tidak mampu aku tuliskan kesemua keagungan Allah di dalam entry ini. Menyayangi Dia sepenuh hati, tidak akan rugi kerana Allah akan membalas rasa sayang kita. Allah tidak pernah sisihkan kita tetapi kita yang menyisihkan diri dari Allah. Bila kita menyayangiNya, rasa sayang akan kekal selama-lamanya tak akan pernah hilang melainkan kita sayang seseorang lebih dari Allah. 


Pilihan ada di tangan kita ; menyayangi BUNGA yang akan LAYU, menyayangi MANUSIA yang akan MATI atau menyayangi ALLAH yang akan KEKAL selama-lamanya. 

Posted in , | Leave a comment

Project Mega! #1

Sejahteralah Ke Atas Kamu.




Sejahteralah Ke Atas Kamu
















"Assalamualaikum!"


Ayah bagi salam pada orang yang tak dikenalinya. Masa tu aku masih budak-budak. Mumaiz pun belum agaknya. Hidup aku sentiasa dipenuhi dengan pertanyaan. Maka soalan yang keluar dari kepala aku masa tu adalah : Kenapa ayah bagi salam dekat orang tu?

"Ayah kenal dengan orang tu?"

"Tak."

"Habis tu kenapa ayah bagi salam dengan orang yang ayah tak kenal?"

"Memberi salam bukan saja pada orang yang kita kenal. Kita pun boleh bagi salam dengan orang yang tidak kita kenal asalkan dia beragama Islam," jawab ayah.


Aku cuma boleh kata 'oh' dengan tajwid enam harakat. Standard-lah otak budak-budak masa tu. Bukan semua benda otak aku boleh hadam. Bila dah besar sikit, dah mumaiz dan boleh faham, barulah aku tahu apa yang ayah maksudkan.


Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : Apakah (amalan) yang terbaik di dalam Islam? Nabi berkata : Memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan orang yang tidak engkau kenali.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Sometimes aku selalu nampak orang lebih suka bagi sapaan macam 'hai' atau 'helo'. Aku pun tak terkecuali jugalah. Padahal Islam dah beri kita satu sapaan yang sangat baik. Bukan setakat baik malah kita mendoakan seseorang. Assalamualaikum (sejahteralah ke atas kamu). Bila kita jawab salam dari si pemberi salam, kita pun mendoakan si pemberi salam. Waalaikumussalam ( sejahteralah ke atas kamu). Tak suka ke orang doakan kita?

Bila hidup di zaman moden, semua benda nak ditukar jadi moden. Rasa macam bagi salam dekat orang tu tak ada standard. Macam kolot sebab adanya sapaan seperti hai dan helo walhal Islam tu tak pernah ketinggalan zaman malah lebih maju dari kita. Cuma kita saja tak sedar sebab alpa dengan dunia.


Kalau ada pun kita bagi salam, kita bagi salam hanya untuk orang yang kita kenal. Orang yang kita tak kenal, kita tak bagi salam sebab tak kenal pun orang tu. Bro and sis, bukankah dalam Islam kita ni saudara? Kau kenal ke tak, asalkan dia Islam apa salah bagi salam? Bukannya dosa. Memberi salam itu sunat, menjawabnya wajib. Antara salah satu tanda-tanda kiamat ialah memberi salam kepada orang yang dikenali saja.


Selain daripada memberi salam, buat kebaikan pun macam tu juga. Jangan memilih orang bila nak buat kebaikan. Buat baik dekat semua orang dan buat jahat jangan sekali.


Daripada memberi sapaan HAI dan HELO, apa kata kita bagi salam (ASSALAMUALAIKUM)? Jom kita bersama-sama mengubahnya!





Posted in | Leave a comment
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.